Monday, February 14, 2011

Mubarak jatuh sakit setelah dijatuhkan rakyat

Dataran Tahrir tenang, Mubarak pula alami tekanan mental..kat Malaysia ada tekanan jiwa..!!!!


Dataran Tahrir di ibu negara Mesir yang menjadi tempat berkumpul para penunjuk perasaan besar-besaran sebelum ini dilihat kembali tenang dan lalu lintas dilihat kembali seperti biasa kecuali sekumpulan kecil kumpulan penunjuk perasaan yang terdiri daripada kaki tangan awam kerajaan dilihat enggan berganjak menggesa kerajaan menaikkan gaji mereka.


Di satu sudut lain pula, media Mesir mengeluarkan pelbagai laporan berhubung tahap kesihatan presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, lapor sebuah akhbar semalam.

Kelmarin, sebuah akhbar Bahrain, Alwasat News menyatakan, Hosni kini tidak sedarkan diri. Sebuah lagi akhbar tempatan, Al Masry Al Youm pula melaporkan pemimpin tersebut tidak sedarkan diri sejak Sabtu lepas dan beliau berada di bawah penjagaan perubatan yang rapi.

Sebuah akhbar tempatan lain melaporkan Hosni jatuh sakit tetapi beliau enggan menerima rawatan perubatan.

Agensi berita rasmi Roee Nahmias semalam menafikan bekas presiden Mesir itu kini koma tetapi mengakui bahawa beliau jatuh sakit.

Bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan mental yang teruk dan menolak untuk dirawat walaupun beliau jatuh sakit, lapor sebuah lagi akhbar, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan Hosni.

Menurut laporan tersebut, Hosni kini dipercayai berada di resort tepi pantai di Sharm el-Sheikh.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta Mesir ke Amerika Syarikat (AS), Sameh Shoukry semalam tidak menolak bahawa kesihatan Hosni semakin terjejas ketika ditanya berhubung laporan media bahawa beliau mungkin diserang strok atau berada dalam keadaan koma.

"Saya mengikuti desas-desus dan laporan media tentang kesihatan beliau (Hosni) dan mendapat maklumat yang menunjukkan kesihatan beliau kini terjejas," kata Sameh dalam satu temu bual dengan program bual bicara Today Show terbitan NBC.

Pada tahun lalu, Hosni berkunjung ke Jerman untuk menjalani pembedahan pundi hampedu.

Hosni meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera Mesir pada Jumaat lalu selepas 18 hari berdepan tunjuk perasaan anti-pemerintah.

Kepimpinan tentera yang baru telah membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan negara kelmarin.

Sementara itu, pihak tentera yang memerintah negara itu selepas Hosni meletakkan jawatan meminta semua pekerja tidak melancarkan mogok dan protes di Dataran Tahrir.

Semalam, askar-askar membersihkan sampah sarap dan timbunan bangkai kereta serta khemah di Dataran Tahrir yang menjadi tempat para penunjuk perasaan berkampung sejak 25 Januari lalu bagi menuntut Hosni meletakkan jawatan

ReJaM© "Perompak harta rakyat Mesir dah jadi biol, atau buat-buat biol kerana takut didakwa?"

No comments: