Friday, February 11, 2011

Berubah untuk ganti Umno

KUALA TERENGGANU – Ahli Pas wajib membuat perubahan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, seiring dengan perubahan yang ditunjukkan di negara lain bagi menyelamatkan negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika berucap di program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2011, di padang Batu Enam, Manir, di sini, semalam.


"Kita wajib ganti UMNO untuk memerintah negara bagi melakukan perubahan. Kita wajib turun ke seluruh pelosok memberi maklumat. Seluruh dunia juga sedang berusaha melakukan perubahan,” katanya.


Beliau menjelaskan kerjasama antara Pas dan DAP yang menimbulkan kontroversi sebelum ini berbeza dengan kerjasama antara UMNO, MCA dan Gerakan.


Abdul Hadi mendakwa, kerjasama UMNO dengan dua parti itu melemahkan umat Islam di negara ini, sebaliknya kerjasama Pas dengan DAP menghasilkan ikatan yang kukuh.


“Kita berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat (PR) dan melakukan pendekatan pemikiran ke arah sistem dua parti dalam negara.


“Apabila DAP dan PKR terima Islam sebagai agama negara, ada hak pada agama lain.


Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ada hak pada bahasa lain, menerima Raja Berperlembagaan dengan menerima haknya sebagai raja mengikut kehendak Islam,” katanya.


Sementara itu, beliau mahu ahli parti itu bergerak segera ke arah perubahan yang disasarkan sambil memberitahu Pas tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama, walaupun ahlinya mencecah sejuta orang.


Beliau berkata, sokongan yang ada perlu diperkukuhkan untuk menghadapi cabaran menjelang PRU akan datang.


“Kita berharap satu perubahan dalam negara, bukan melalui keganasan, tetapi perubahan untuk menunjukkan Islam adil. Kita wajib layar bahtera perjuangan mengikut gelombang untuk menyampaikan matlamat dan tujuan parti,” katanya.







No comments: