Friday, February 11, 2011

Soi Lek diasak , terdesak

Soi Lek Terdesak Cuba Tunda Pemilihan MCA


SHAH ALAM 11 Feb.: Tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mahukan pemilihan parti itu ditunda adalah cubaan terdesak untuk memintas cabaran dua bekas presiden parti itu terhadap beliau, kata seorang tokoh masyarakat Cina.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata cabaran Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Ong Ka Ting menyebabkan pucuk pimpinan MCA sekarang cenderung untuk menunda pemilihan parti kepada selepas pilihanraya umum.

Jui Meng berkata perkembangan itu menzahirkan perpecahan dalaman MCA masih serius dan sokongan untuk parti itu semakin terhakis.

MCA kini dalam kemelut apabila dijangka bakal menunda pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

Malah Soi Lek dilaporkan mahu mengadakan Mesyuarat Agung Luar biasa bagi meminda perlembagaan parti itu bagi membolehkan pemilihan parti ditunda.

Artikel 167 Perlembagaan MCA menyebut bahawa parti hanya boleh menunda pemilihan jika ia dijadualkan selepas 42 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) terakhir.

Ramai memandang usaha itu dilakukan kerana Soi Lek tidak yakin mendapat sokongan majoriti ahli MCA.

Menurut Jui Meng lagi, Soi Lek memang telah hilang pengaruh seperti yang dibuktikan pada pilihanraya kecil(PRK) Tenang baru-baru ini.

"Dia telah ditolak oleh masyarakat Tiong Hua. Di Tenang ini, patutnya kubu MCA oleh kerana di sana dua presiden pernah jadi ahli parlimen iaitu Ling Liong Sik, Chua Soi Lek dan sekarang bawah anak dia. Tapi saya nampak dalam PRK Tenang, walau kubu MCA, lebih 70 peratus sokong PAS dan PR," katanya.

PKR tidak menolak cubaan bekas Presiden MCA Tee Kiat dan Ka Ting untuk merampas tampuk kepimpinan dari Soi Lek tetapi menganggap ia sebagai terlambat bagi menyelamatkan parti kedua terbesar Barisan Nasional itu.

"Mereka (Tee Kiat dan Ka Ting) boleh cuba melalui pemilihan dalam parti kerana pemilihan patut dijalankan tahun ini juga. Saya nampak dia (MCA) semakin lama semakin tidak relevan lagi dalam politik, terutama kepada masyarakat Tiong Hua, tak relevan lagi," katanya.

Sokongan pengundi Cina untuk MCA, khususnya Soi Lek yang terbabit dalam skandal video seks adalah antara punca kemerosotan sokongan pengundi terhadap Soi Lek.

Setelah menjadi Presiden tahun lalu, Soi Lek menamakan anaknya Chua Tee Yong untuk dijadikan timbalan menteri pertanian dan asas tani dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Soi Lek sendiri menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

Tinjauan badan bebas Merdeka Centre tahun lalu menyatakan hanya segelintir masyarakat Cina menerima kepimpinan Soi Lek di MCA.

"Terjunamlah sudah sokongan terhadap MCA. MCA telah jatuh semasa PRU 12 tapi kita nampak (sokongan) terus dihakis. Saya ingat soalselidik merdeka Centre, cuma 9 peratus sokong Chua Soi Lek, bermakna 91 peratus tak sokong dia," kata bekas Menteri Kesihatan itu.

No comments: