Sunday, February 6, 2011

Kata tarik subsidi sebab tak ada dana tapi ada pula RM6 bilion bina kapal TLDM

Tony Pua : Kerajaan Diminta Perjelas Belanja RM6 Bilion Bina Kapal TLDM


SHAH ALAM 6 Feb. : Kerajaan Umno-BN perlu menjelaskan keutamaan kerajaan kerana sanggup membelanjakan RM6 Bilion untuk pembinaan enam buah kapal peronda untuk Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) tetapi menarik balik subsidi rakyat dengan alasan kerajaan tidak mencukupi dana.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi bahawa Kementerian Pertahanan akan membelanjakan RM6 Bilion bagi membina enam kapal peronda TLDM generasi kedua dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

Tegas beliau, tindakan ini langsung tidak mencerminkan polisi kerajaan Umno-BN yang sentiasa melaungkan slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Perlukah kerajaan Malaysia membuat pelaburan membeli kapal pada masa ini walaupun ekonomi kita masih belum pulih dengan sempurna dan walaupun kerajaan pada masa ini kerap memberitahu rakyat bahawa kerajaan tidak mempunyai wang yang mencukupi dan wang untuk subsidi rakyat pula dikurangkan," kata beliau.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan ketelusan kontrak ini kerana kerajaan mahu memberikannya kepada sebuah syarikat mempunyai rekod korupsi yang amat kronik hingga kerajaan terpaksa mengeluarkan dana tambahan untuk 'menjamin keluar' syarikat tersebut.

"Bukankah kerajaan sepatutnya lebih teliti dengan penawaran kontrak supaya kontak-kontrak yang ditawarkan juga perlu ditawarkan kepada pihak yang paling berkebolehan untuk menyiapkan kerja," tegas beliau.

Sebelum ini, syarikat milikan kerajaan, Penang Shipyard and Construction Industries Bhd (PSCI) telah diberi kontrak yang serupa pada tahun 1998, iaitu membina dan membekal enam kapal peronda bagi TLDM dengan harga RM5.4 Bilion.

Tetapi, disebabkan korupsi yang kronik dalam PSCI menyebabkan PSCI tidak dapat menyiapkan kapal-kapal tersebut dan terpaksa meminta kerajaan untuk mengeluarkann modal tambahan.

Korupsi dalaman PSCI menyebabkan kerajaan terpaksa 'menjamin keluar' syarikat tersebut merombak semula pengurusan serta bergabung dengan Boustead Holding Bhd, menjadi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

"Saya rasa perkara ini, sepatutnya kalau menteri ingin mengumumkan perkara ini sepatutnya memberikan maklumat yang lebih terperinci agar rakyat dapat menilai samada kontrak ini adalah munasabah, wajar," kata beliau.

Katanya lagi, penerangan juga perlu diberikan kerana rakyat juga perlu tahu spesifikasi kapal yang melonjakkan harga kapal peronda ini hingga mencecah RM1 Bilion seunit.

"Harga RM 1 bilion setiap kapal merupakan harga yang mungkin munasabah dan mungkin terlalu mahal. Ini tertakluk kepada samada kapal ini mempunyai jenis senjata ataupun jenis misil yang canggih ataupun radar yang tak sama, kerana menurut maklumat yang saya dapat, harga kapal ini adalah antara RM100 juta hingga RM1 Bilion pun boleh," jelas beliau.

No comments: