Tuesday, February 22, 2011

Kerdau : PAS tiada masalah berhadapan calon ustaz Umno

PAS sedia berdepan Syed Ibrahim

http://dppbtr.files.wordpress.com/2010/02/tuan-ibrahim-tuan-man.jpg
KUANTAN – Pas sudah menjangkakan Pegawai Khas Agama Menteri Besar, Syad Ibrahim Syed Ahmad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, 6 Mac ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa saja yang dicalonkan BN dan Pas sendiri mempunyai strategi tersendiri untuk menawan Kerdau.

“Kita memang sudah menjangkakan Syed Ibrahim dicalonkan dan sudah bersedia berhadapan dengan jentera BN nanti,” katanya.

Beliau juga mengakui mengenali Syed Ibrahim dan pernah menghadiri majlis berbentuk keagamaan bersama-sama.

Menurutnya, Syed Ibrahim juga pernah menghubunginya sebelum ini dan bertanyakan pendapat sekiranya beliau dinamakan sebagai calon.

“Dalam konteks politik kita (Pas) bersedia berhadapan dengan Syed Ibrahim dan sesiapa saja calon Pas nanti pastinya mampu mencipta kejutan,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga kesal kerana jentera BN menggunakan jabatan kerajaan berkempen kerana itu bertentangan peraturan pilihan raya.

Beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau perkara ini supaya setiap parti yang bertanding dapat mengikut peraturan yang digariskan.

Setiausaha Penerangan Pas Negeri, Roslan Zainal ketika dihubungi berkata, Pas tidak bimbang dengan pencalonan Syed Ibrahim walaupun beliau dilihat sebagai ulama UMNO.

Ini kerana, katanya, tokoh agama atau ulama yang ditonjolkan UMNO selalu mengambil sikap berdiam diri apabila terdapat isu berbangkit dan sikap seperti ini sebenarnya tidak disenangi oleh majoriti umat Islam.

”Kami tidak rasa tergugat dengan pencalonan beliau (Syed Ibrahim), biarpun dengan jawatannya Pegawai Agama Menteri Besar sebab kita sudah masak dengan sikap ulama UMNO,” katanya.

Ketika ditanya kecenderungan BN mengetengahkan calon muda dan anak tempatan, Roslan berkata, faktor umur tidak penting kerana pengundi mahu seorang pemimpin yang mampu membela nasib mereka.

”Faktor keupayaan berkhidmat menjadi kelebihan utama seseorang calon dan bukannya atas dasar orang muda atau tua.

”Calon Pas yang bakal diketengahkan nanti mempunyai kelebihannya tersendiri dan saya yakin pengundi sekarang sudah bijak memilih pemimpin,” katanya.

No comments: