Monday, June 14, 2010

DHPP dapat sokongan perwakilan

http://buletinonline.net/images/stories/berita27/tghaha.jpg












KOTA
BHARU , 14 Jun : Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) telah mendapat sokongan dari seluruh perwakilan Muktamar Tahunan PAS kali Ke 56 yang berakhir semalam.

Bahkan ianya mendapat liputan yang meluas dari media cetak dan elektronik.

”Semua perwakilan dari Perlis hingga ke Sabah menimbulkan sokongan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS,

”dan kita mendapat ulasan dari pihak luar parti khususnya pihak media samada yang bercetak atau pun elektronik,”ujar Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhannnya diakhir Muktamar Tahunan PAS Ke 56 semalam.

Sehubungan itu, beliau menemplak golongan yang menentang amalan politik PAS yang mengiktiraf sokongan bukan Islam tersebut

Katanya, golongan tersebutlah yang dulunya, pada tahun 60an, mengatakan PAS tidak boleh memerintah negara kerana negara ini mempunyai masyarakat majmuk.

Apabila kini, PAS melibatkan golongan bukan Islam, golongan tersebut, bercakap sebaliknya.

”Bila kita libatkan orang bukan Islam, dalam kerja politik kita mereka berputar balik, ini kerana sempitnya pmikiran (mereka), kerana mereka mempelajari Islam secara serpihan,”tegasnya.

Beliau menempelak golongan tersebut yang mahu mengekalkan pemikiran orang-orang Melayu Islam dalam kefahaman yang dikehendakki oleh penjajah.

Penubuhan DHPP, tegasnya, mengikut ajaran Islam dan tidak sama dengan hubungan antara Umno dan rakannya yang bukan Islam dalam Barisan Nasional.

”Kerjasama dengan orang bukan Islam dalam PAS adalah kerjasama ‘tahaluf siyasi’ dan diizinkan oleh syarak,

”kerjasama Umno dengan bukan Islam, menggadai prinsip dan maruah, dan tidak boleh menjadi Islam yang ditunjuk kepada orang-orang yang bukan islam,

”apa yang kita buat pada hari ini berdasar kepada al-Quran, berdasarkan kepada as-sunnah Nabi SAW, berdasarkan kepada muzakarah para ulamak”jelasnya.

Katanya, amalan Tahaluf Siyasi dalam PAS bukan sahaja di bincangkan dalam Majlis Syura Ulamak, bahkan dibentangkan dalam majlis perbincangan ulamak-ulamak peringkat Internasional.

Read more ...

Anwar lebih layak terajui PR






















KOTA BHARU, 14 Jun:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Read more ...

PR Kedah akan bertahan, kekal menang pada PRU-13’













KOTA BARU, 14 Jun :
Meskipun desas-desus bakal tumbangnya Kedah masih kedengaran, PAS negeri itu yakin kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ini akan terus bertahan, malah mampu untuk mengekalkan pentadbirannya dengan “mandat lebih besar” pada pilihan raya umum ke-13. “Saya yakin kami akan terus bertahan, malah akan memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang,” kata Ketua Penerangan PAS Kedah Amirudin Hamzah.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS melahirkan keyakinan itu berdasarkan perkiraannya terhadap jumlah kerusi yang dimiliki PR dan Barisan Nasional (BN) dengan mengambil kira senario semasa.

“Berdasarkan perkiraan dan perhitungan saya, saya yakin kami tiada masalah untuk kekal memerintah sehingga pilihan raya umum akan datang... melainkan perkiraan saya silap, mungkin anda boleh buktikan saya silap,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini.

Sehari selepas pertemuan ini, pemimpin kanan PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman semalam melontarkan kejutan Selangor dan Kedah di ambang kejatuhan jika tidak menggiatkan pendaftaran pengundi-pengundi baru dalam waktu terdekat.

Amirudin yang juga Exco kerajaan negeri mengakui walaupun perbezaan kerusi tidak jauh berbeza antara PR dan BN, yang dikatakan mempunyai sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas, PAS Kedah percaya tiada masalah untuk kekal berkuasa.

“Berdasarkan daripada kiraan saya, dengan kerusi 20 kerusi yang kami ada berbanding mereka ada 16 dengan dua Adun dari Bebas, kami yakin... tiada masalah,” kata beliau yang mengakui BN cuba mendampingi wakil-wakil rakyat PR termasuk PAS.

The Malaysian Insider difahamkan lima wakil rakyat PR telah didampingi BN setakat ini.
Jelas Amirudin, pihaknya merumuskan keyakinan itu kerana atas kertas BN “sudah pun kehilangan” dua kerusi — status Kota Seputih yang akan didengar oleh Mahkamah Rayuan manakala seorang wakil rakyat MCA berhadapan dengan ‘masalah dalaman’ parti dan sedang mengambil cuti.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 16 wakil rakyat dari PAS, tiga PKR, seorang DAP. BN mempunyai 14 wakil rakyat dan dua lagi Bebas setelah keluar PKR.
Untuk membolehkan kerajaan negeri Kedah pimpinan PR jatuh, BN memerlukan empat lagi Adun menyokongnya.

Selain dua wakil rakyat BN yang dikatakan masih menjadi tanda tanya, Amirudin berkata, Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim juga menjadi tumpuan kerana isu yang berkaitan dengan masalah peribadi beliau.

Justeru kata Amirudin, umumnya kini BN adalah ‘masalah’ dengan tiga kerusi dan “mereka sedang melengah-lengahkan masa” bagi mengelakkan kemungkinan pilihan raya kecil.

Berdasarkan undang-undang pilihan raya, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum mandat semasa berakhir.

Laporan sebelum ini menyebut wakil rakyat hendak keluar Umno-BN tetapi beliau ada pengesahan.

“Jadi mengambil kira keadaan ini, selepas campur tolak, saya masih yakin dengan kedudukan Pakatan di Kedah,” katanya.

“Kami masih yakin wakil-wakil rakyat PAS dan PKR tidak ada yang akan keluar,” kata beliau dengan merujuk kepada pengakuan terbuka dibuat oleh tiga Adun PKR bulan lalu.

“Begitu juga dengan wakil rakyat (tunggal) DAP... dia tak akan keluar parti,” katanya.
Ketiga-tiga Adun PKR itu merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider, BN Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun PR akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.MI

Sehubungan itu, Umno salah satu komponen BN meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru.
Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara PR dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.
“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad.
Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat PR juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang.
Percaturan Umno-BN ialah antara dua hingga tiga Adun kemungkinan keluar.
“Jika dua wakil rakyat parti (komponen Pakatan) keluar bermakna keseimbangan anggota di DUN iaitu 18:18... sama di pihak Pakatan dan juga BN, jika ini berlaku kerajaan negeri tidak boleh berfungsi, dan pilihan raya umum negeri perlu diadakan, tiada pilihan.
“Jika tiga wakil rakyat keluar dari Pakatan, kami akan ada sokongan lebih satu kerusi iaitu 19:17. Dalam keadaan ini, BN boleh mengambil alih kerajaan, seperti yang berlaku di Perak,” katanya lagi.
Mengenai dakwaan Umno bahawa wakil-wakil PR akan bertindak keluar parti, Amiruddin berkata, “mereka terpaksa berbuat demikian (menyebarkan berita) untuk kekalkan semangat ahli-ahli mereka.”
“Tetapi kami yakin menang lebih baik, bagi PAS kami yakin menguasai kesemua 24 yang ditandingi (dalam pilihan raya umum ke-13),” katanya.
Pada Mac 2008, PAS bertanding di 24 kerusi dan menang di 16 kawasan.
“Kami yakin akan memperoleh mandat lebih besar,” kata Adun Anak Bukit ini.

Read more ...

Al-Fatihah! Ustaz Hassan Shukeri kembali kerahmatullah

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 9.00 pagi esok di Surau Taman Melewar.

Read more ...

Nizar letak jawatan


IPOH, 14 Jun :
Dato Seri Haji Nizar Jamaluddin secara sahnya meletakkan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang berkuatkuasa serta merta.

Pengumuman perletakan jawatan itu dilakukan oleh beliau sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat khas ahli majlis di Pejabat PAFA, Ipoh pagi tadi.

Turut bersama-sama beliau melepaskan jawatan masing-masing adalah YB Seah Leong Peng (Timbalan Presiden), Haji Anuar Hashim (Setiausaha Kehormat), Haji Abdul Rahim (Bendahari Kehormat), Ustaz Norazli Musa (Pengurus Pasukan Liga Super) dan Sdr Anuar Zakaria (Penolong Pengurus).

Segala kemelut yang melanda PAFA sebelum ini dijangka akan beralih arah apabila persatuan tersebut kini di bawah pimpinan sementara Naib Presiden 1 iaitu Datuk Seri Abdullah Hisan.Ajijoi

Read more ...

Thursday, June 10, 2010

Anwar, Kit Siang sertai muktamar PAS













KOTA BHARU, 11 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang menjadi antara tetamu penting dalam muktamar PAS ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini.

Kedua-duanya berjalan masuk bersama para pemimpin utama PAS yang diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta lain-lain pimpinan utama.

Turut sertai muktamar kali ini adalah para pemimpin kanan gerakan Islam seluruh dunia termasuklah dari Hamas yang sedang berdepan dengan tentera Zionis Israel sekarang.

Sebelum masuk ke dewan, Abdul Hadi telah memeriksa pembarisan Unit Amal dengan diiringi pasukan gendang Rebana Ubi Kelantan.

Dewan Muktamar Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati serta tetamu dari luar negara. Tahun ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menghantar wakilnya buat pertama kalinya menyertai muktamar kali ini.

Sembilan wakil Hamas yang di ketuai Dr Munir Syed Garada turut menyertai muktamar ini walau masih lagi bertembung dengan tentera Zionis Israel.

Turut menjadi sebutan Pengerusi Tetap, Haji Abu Kassim Abdullah adalah sebahagian dari wakil NGO Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Majlis menjadi meriah dengan lagu nasyid Kelantan yang dinyanyikan sebaik sahaja pemimpin duduk selepas berdiri menghormati lagu Negaraku dan lagu PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, ini adalah kali ke - 5 Muktamar PAS diadakan di Putik. Sebelum ini muktamar pernah diadakan di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada tahun 2008 di Stadium Indramulia, Ipoh manakala tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam.

"Langkah ini diambil supaya ahli dan penyokong kita dapat bersama pemimpin dalam majlis sebegini," kata Mustafa.

Muktamar kali ini juga menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya disertai oleh DHPP yang baru sahaja dibentuk pada tahun ini.

Mustafa dalam ucapannya juga meminta semua ahli PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum ke 13 yang bakal diadakan tahun 2011 iaitu tahun depan secepatnya atau selewatnya tahun 2012 kerana BN takut dengan angka 13 dan ia tidak akan diadakan pada tahun 2013.hrkh

Read more ...

Perkasa peranan pemuda dan muslimat
















PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Dewan Pemuda PAS digesa memperkasakan peranan mereka khususnya menangani golongan muda yang kini sedang dirosakkan pemikiran mereka dengan pelbagai budaya negatif.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pemuda PAS selaku pelapis kepada kesinambungan perjuangan Islam perlu merangka strategi bagi mendekati golongan muda ini.

"Dekatilah mereka, bawa dan pimpinlah generasi muda yang ada diserata tempat dalam negara kita ini kepada cahaya Islam yang akan menerangi hati serta jiwa mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada muktamar PAS hari ini.

Pemuda PAS juga katanya perlu meneroka ruang-ruang dakwah yang masih luas bagi menyampaikan kefahaman Islam yang syumul kepada masyarakat.

Di peringkat antarabangsa, peranan pemuda PAS juga katanya perlu diperhebat sebagai pendedahan menjadikan pemuda lebih matang, berketerampilan sekaligus menjadi aset penting perjuangan parti.

Sehubungan itu, pemuda PAS diseru meningkatkan penguasaan ilmu dan akidah perjuangan bagi menggerakkan perubahan.

"Kerana itu mereka perlu digandingkan dengan kepimpinan lama dalam melaksanakan tugas kepimpinan.

"Kecergasan merekalah yang akan banyak membantu seluruh saf kepimpinan dalam melaksanakan tugas yang mencabar," katanya.

Mengulas peranan Dewan Muslimat pula presiden berkata, sudah tiba masanya PAS mengisytiharkan muslimat wajib bersama muslimin untuk berganding menyampaikan dakwah.

Ini perlu katanya kerana suasana kini dibanjiri dengan pemikiran yang menyerang umat dan merosakkan masyarakat hasil daripada kuasa politik yang salah.

"Sudah tiba masanya diisytiharkan muslimat wajib bersama muslimin untuk berganding secara berjadual mengikut peranan dan tugas yang dibahagikan tanpa menjejaskan kewajipan dalam rumahtangga yang menjadi asal tugasnya, dalam masa yang sama menolak serangan budaya negatif yang telah masuk ke dalam rumah, keluarga dan masyarakat," katanya.

Beliau juga berkata, dalam konteks perjuangan Islam secara demokrasi dan muwajahah silmiyyah, para muslimat turut berkewajipan menegakkan Islam.

Ujarnya, penglibatan muslimat dalam pilihan raya, samaada sebagai calon atau petugas, amat dihormati oleh kawan dam digeruni lawan.

"Teruskan keterlibatan para muslimat sekalian, dengan struktur yang lebih tersusun dan perancangan jangka pendek dan panjang, supaya sumbangan mereka itu akan leboh berkekalan kepada perjuangan kita ini," katanya.

Sehubungan itu katanya, satu penghargaan wajar diberikan kepada seluruh ahli dan kepimpinan Dewan Muslimat PAS, jentera HalWa dan Nisa' di atas penglibatan mereka dalam beberapa siri pilihan raya kecil.

"Penglibatan mereka amat besar ertinya dalam sebuah perjuangan Islam di Malaysia ini. Muslimat telah membuktikan keupayaan mereka dengan penuh kecekalan dam kesanggupan mengharungi kepayahan dalam misi dakwah," katanya.

Kepimpinan parti juga sentiasa membuka ruang kepada para muslimat yang berwibawa, mampu dan layak untuk menjadi calon Muslimat dalam pilihan raya dan mengalu-alukan penglibatan mereka di peringkat pembuat dasar.hrkh

Read more ...

Islam adil untuk semua
















KOTA BHARU, 11 Jun:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menawarkan kepada semua agar bersama-sama Islam yang dibawa PAS kerana 'Islam Adil Untuk Semua" yang dijadikan beliau sebagai tema Ucapan Dasarnya dalam muktamar PAS ke 56 ini.

Tema ini dipilih kerana mereka yang adil lebih dekat dengan taqwa dan PAS mahu keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira siapa mereka, kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar yang diberikan beliau dalam muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) hari ini.

Dewan besar Putik penuh sesak dengan kira-kira 5,000 perwakilan, tetamu dan pemerhati di samping ratusan petugas media dari dalam dan luar negeri mendengar ucapan beliau dengan khusyuk.

Turut menjadi tetamu adalah pemimpin Hamas Palestin walaupun rakan-rakan mereka sedang berdepan dengan tentera regi zionis Israel. Di samping itu, turut serta adalah pemimpin parti Al Adalah Maldives yang kini memerintah negara pelancungan itu.

Selain itu, pemimpin MILF dari Filipina juga turut serta bersama lain-lain tetamu.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, PAS akan memperjuangkan keadilan untuk semua yang diberikan oleh Islam tanpa mengira apa-apa batasan.

Beliau berkata, Umno walaupun berkata akan memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi pada hakikatnya sedang menghancurkan Islam dan Melayu juga.

Ini kerana tindak tanduk Umno jelas merosak Melayu dan Islam, katanya.

Tindakan Umno juga merosakkan negara bahkan juga kaum lain di negara ini. Kehilangan blok minyak rugikan negara ratusan bilion ringgit. Umno juga terperangkap dalam retorik perkauman yang jauhkan kaum lain di negara ini. Inilah kecelaruan yang di bawa Umno, kata Abdul Hadi.

"Akhirnya, umat Islam terus ketinggalan dan berlakunya hakisan kesedaran dan kuasa, adalah hasil dari kesilapan kepimpinan negara kita yang tidak memperkasakan kepimpinan umat Islam dengan hanya melahirkan pemimpin yang tidak bermoral ddengan politik wang tanpa kewibawaan," kata Abdul Hadi.

Bagi beliau, Umno telah mengakibatkan malapetaka dahsyat berlaku terhadap masyarakat Melayu Islam apabila menanam kefahaman salah kepada mereka.

"Umno mendabik dada kononnya merekalah penyelamat Melayu dan Islam.

"Hakikatnya mereka telah gagal dan mengundang padah malapetaka.

"Imej Islam begitu murni telah tercalar akibat dari kegagalan dan ketidakadilan Umno," katanya.

Umno juga katanya menjadikan ekonomi negara sebagai modal pusingan di kalangan pemimpin mereka sahaja.

Blok minyak katanya diserah begitu sahaja kepada negara lain sebagai pertukaran.

Sehubungan itu katanya PAS wajib mentafsirkan Islam secara sempurna dan lengkap bagi membebaskan khurafat pemikiran yang dibawa Umno.

"Keadaan ini mewajibkan kita berusaha sedaya upaya supaya orang Melayu yang majoritinya Islam ini dibebaskan daripada kepompong yang rosak itu.

"Di atas kegagalan Umno ini maka kita perlu mendampingi kelompok orang Melayu supaya mereka dapat bersama dengan PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenar," katanya.hrkh

Read more ...

Kedah cadang sekat web negatif


ALOR SETAR , 11 Jun : Kerajaan Negeri bercadang menyekat laman web berunsurkan negatif dan lucah di negeri ini dengan menjalin kerjasama bersama Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) negara ini, Jaring dalam masa terdekat.

Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat & Komunikasi, Dr Ismail Salleh berkata, perbincangan akan dibuat bagi merangka program tapisan laman web negatif untuk mengekang penularan gejala sosial yang kini pada tahap membimbangkan.


“Kita akan bincang dengan Jaring untuk laksanakan di negeri ini, seperti yang dibuat di Kelantan. Melalui kaedah ini, laman web berunsurkan negatif dapat disekat daripada dilayari golongan bawah umur, terutama remaja,” katanya.

Dr Ismail berkata, ini antara usaha Kerajaan Negeri mengurangkan kesan negatif penggunaan teknologi maklumat (ICT) supaya remaja Kedah dapat dibimbing ke landasan yang betul.

Menurutnya, selain memfokus kepada remaja, golongan ibu bapa juga akan diberi tumpuan dan pihaknya kini sedang merangka modul program kemahiran keibubapaan.

“Beberapa siri program untuk remaja dan belia sudah pun dilancarkan. Pada masa akan datang, kita bercadang untuk merangka modul kemahiran untuk ibu bapa pula. Ini penting kerana kemahiran kedua-dua pihak, iaitu ibu bapa dan anak-anak perlu dimantapkan,” katanya.

Dr Ismail berkata, daripada kajian yang dibuat daripada Kem Bina Insan (KBI) baru-baru ini, pihaknya mendapati kemahiran keibubapaan semakin merosot dan longgar, sehingga anak-anak tidak lagi memilih ibu bapa sebagai idola mereka.

“Hasil kajian daripada kesemua program di bawah Pembangunan Insan akan digunakan sebagai panduan dalam merangka program bersesuaian untuk golongan kanak-kanak, remaja, belia dan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, walaupun sebahagian besar remaja selesa berada bersama keluarga di rumah, namun tidak semua remaja selesa meluahkan masalah kepada ibu bapa, dan aspek ini perlu dipertingkatkan menerusi program bersesuaian.

Dr Ismail berkata, berikutan itu juga, Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah jumlah peruntukan dalam belanjawan akan datang untuk merangka lebih banyak program menarik untuk seisi keluarga.

“Saya difahamkan, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah memberi jaminan mahu isu ini diberi penekanan. Ini kerana Kerajaan Negeri ambil serius masalah sosial di Kedah, dan mahu ianya ditangani sebaik mungkin,” katanya.SH

Read more ...

Buat aduan jika dilarang pakai tudung dan solat


PARIT BUNTAR , 11 Jun : Lujnah Pekerja PAS Parit Buntar meminta pekerja yang mendapat arahan daripada majikan melarang mereka memakai tudung dan tidak dibenarkan menunaikan solat supaya membuat aduan segera kepada pejabat buruh. Demikian kenyataan Pengerusinya Abdul Bahrain Desa mengulas dakwaan majikan sebuah pasar raya yang melarang pekerjanya memakai tudung dan menunaikan solat di sini.


“ Setakat ini ,lujnah ini masih belum menerima aduan mengenai perkara ini. Malah, Pejabat Parlimen juga masih belum menerima aduan bekenaan.


“ Kita pernah menerima aduan pada tahun 2008 dan kita telah mengambil tindakan segera berjumpa dengan majikan pekerja berkenaan dan isu berkenaan dapat diselesaikan.” Katanya


Bahrain berkata, walaupun belum mendapat aduan secara rasmi pihaknya akan melakukan siasatan terhadap isu yang menyentuh sensitiviti orang Islam itu.


“ Tindakan majikan berkenaan sekiranya benar adalah menyalahi undang- undang buruh dan majikan bekenaan boleh diambil tindakan.


“ Saya berharap pejabat buruh juga menyiasat perkara ini walaupun belum ada aduan rasmi. Pejabat Agama Parit Buntar juga perlu menyiasat kerana larangan ini menyentuh hak dan kewajipan seseorang beragama Islam” katanya


Bahrain berharap majikan di Parit Buntar supaya menghomati hak pekerja mereka yang beragama Islam.


“ Menutup aurat dan menunaikan solat lima waktu adalah wajib bagi seseorang Islam, majikan kena faham dan tidak melarang pekerja mereka menunaikan kewajipan mereka sebagai orang Islam” katanya

Read more ...

Kumutha jadi tumpuan perwakilan

KOTA BHARU, 10 Jun: Ucapan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama, menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya.

Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir.

Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.

Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga.

“Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.

Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli.

“Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu.

Katanya, jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.

Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia.

“Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih.

Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam.

“Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara.
Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.

Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti.
“Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya.

Read more ...

RMK 10 abaikan pembangunan Selangor


SHAH ALAM , 11 Jun : Kerajaan Negeri menyifatkan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen semalam mengabaikan pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, RMK-10 memberi fokus kepada pembangunan antaranya Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).


“Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.

“Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Lembah Klang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pembangunan Lembah Klang dan Selangor bagaimanapun tidak langsung dinyatakan dalam RMK-10.

Katanya, Najib hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada ‘Greeter’ Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang.

Abdul Khalid berkata, Selangor yang merupakan sebahagian daripada bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini.

Menurutnya, Selangor mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

Menurut beliau, semakin Malaysia dan negara lain di dunia beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.

“Adakah pentadbiran beliau (Najib) sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2009 dan 2008, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?.

“Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya, iaitu sektor pendidikan, pelancongan, kesihatan, kesemua sektor ini adalah berpusat di Lembah Klang.

“Begitu juga dengan sektor industri , incubation serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIs) yang semuanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Katanya, inilah contoh klasik ‘kuman di seberang nampak, gajah depan mata tak nampak’.

Beliau berkata, pentadbiran Najib hilang fokus terhadap matlamat RMK-10 dan turut mempersoalkan sama ada keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan itu disebabkan politik.

Menurut beliau, jika jawapannya ya maka keputusan itu telah membelakangkan kepentingan rakyat.

“Kami menegaskan dalam memperkatakan usaha mentransformasikan ekonomi Malaysia, dua perkara penting perlu diberi perhatian iaitu penilaian semula saiz sektor awam, meliberalisasi saluran komunikasi.SH

Read more ...

Dewan Muslimat kutuk keras kekejaman Zionis


KOTA BHARU , 11 Jun : Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) secara sebulat suara menyokong usul tergempar mengutuk kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin sempena Muktamar tahunan parti kali ke-50, semalam.

Usul berhubung penentangan terhadap kekejaman itu dibentangkan oleh Umu Aiman Athirah Al-Jundy yang turut mendesak Kerajaan Malaysia supaya konsisten terhadap usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu itu disokong sebulat suara para perwakilan tanpa bahas.


Sebagai tanda simbolik kebencian DMPP terhadap kekejaman berkenaan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh bersama barisan saf lain membakar bendera Israel dan bendera Amerika dengan disusuli laungan Allahuakbar berserta ‘Ja-hanam Israel, Tentera Muhammad Pasti Datang, Selamatkan Gaza, Bebaskan Gaza’.

Dewan Muslimat PAS semalam mengutuk sekeras kerasnya kezaliman yang dilakukan sehingga menyebabkan kematian ramai sukarelawan dan rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak.

“Saya meminta perwakilan menyokong penuh semua usul yang menyokong Palestin dan mendesak Perdana Menteri Malaysia konsisten dalam semua tindakan pada setiap masa dalam dan luar negara untuk melaksanakan semua usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu berkaitan isu keganasan Israel,” katanya.

Dalam pembentangan yang dibaca Umu Aiman Athirah itu juga, beliau juga turut menyokong tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat pendedahan berhubung isu Apco di negara ini.SH

Read more ...

Jangan main tarik tali isu judi bola












IPOH , 11 Jun : Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mahu penjelasan mengenai kontroversi isu judi bola yang semakin serius diperkatakan didedahkan supaya tidak mengelirukan rakyat.

“Kita mohon agar perkara ini diberikan penjelasan yang sewajarnya agar rakyat dalam negara dapat mengetahui perkara yang sebenar dan jangan bermain tarik tali,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan Pusat masih belum memberikan lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd maka tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak tertentu.

Pihaknya turut menggesa Securities Commission Malaysia dan Bursa Malaysia mengheret Vincent Tan ke mahkamah kerana telah menimbulkan kontroversi yang mengelirukan pasaran saham.

Beliau berkata, Vincent, dalam satu kenyataannya mengumumkan lesen judi sukan berkenaan telah diberikan kepada Ascot Sports sejak dua minggu yang lepas, dan operasi judi ini akan bermula pada bulan September.

“Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, Berjaya Corporation Bhd menyatakan, Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

“Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di Parlimen baru-baru ini menyatakan lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka namun persoalannya pihak manakah yang bercakap benar,” katanya kepada Sinar Harian.

Boon Chye berkata, kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan Berjaya Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya bercakap benar berhubung perkara berkenaan.

“Ini adalah jawapan yang mengejutkan kerana sejak seminggu lalu, Vincent bercakap seolah-olah dia telah memiliki lesen itu ataupun sebaliknya.

“Saya juga turut mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan yang mengubah pendiriannya kerana gusar dengan kemarahan rakyat ataupun mungkin Vincent tidak bercakap benar dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata, jika berpegang kepada apa yang diumumkan oleh kerajaan mengapakah selama dua minggu ini tidak ada pihak daripada kerajaan menafikan perkara tersebut.

“Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heong pernah membela pendirian Vincent, jadi apa pun yang berlaku mestilah diperjelaskan kepada rakyat,” katanya SH

Read more ...

Monday, June 7, 2010

PAS cadang usul ketenteraan terhadap Israel







KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan menghantar satu usul di Dewan Rakyat bagi meminta Kerajaan Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka semakin berani menindas umat Islam di Palestin.

"Kalau tidak ada peluang berucap, saya tetap akan menghantar satu usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat untuk meminta kerajaan Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan membuat satu proposal kepada PBB.

"Sudah sampai masanya tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel. Sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka tidak faham lagi bahasa diplomasi. Jadi kita mahu tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel dan Amerika perlu diambil tindakan serius," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman zionis Israel.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar pula mencabar kerajaan untuk menghentikan khidmat APCO sekiranya benar-benar membenci tindakan kejam Israel itu.

"Kenapa kita takut nak menunjukkan kebencian kita dengan menamatkan APCO? Sekarang seolah-olah tangan kanan kita memberi sesuatu kepada Palestin dan dalam masa sama tangan kiri kita mendakap APCO iaitu proksi kepada Isrel dan Amerika," katanya yang juga ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendesak kerajaan memanggil pulang duta ke PBB sebagai membuktikan kekecewaan Malaysia terhadap sikap berdiam diri PBB.

"Saya menggesa kerajaan menterjemahkan kekecewaannya kepada PBB dengan memanggil balik duta Malaysia ke PBB. Jika benar-benar tidak bersetuju dengan PBB, panggil balik duta kita," tegasnya.

Beliau turut menyifatkan usul itu sebagai bersifat kecaman semata-mata tanpa ada pendirian yang jelas untuk Malaysia bertindak dalam isu itu.

"Usul hari ini bersifat mengecam semata-mata, cadangan-cadangan untuk orang lain bertindak, bukan untuk Malaysia bertindak. Memang kita bersama dalam isu ini tapi sesuatu perkara yang melucukan bagi saya.

"Walaupun kita menyokong usul ini namun sebagai kerajaan perlu lebih praktikal dengan menunjukan sikap yang jelas. Kalau setakat kecam macam ni jadi macam tok penghulu Kampung Pening Lalat lah," katanya.hrkh

Read more ...