Tuesday, August 31, 2010

Mustafa Kamil tanding Timbalan Presiden


SHAH ALAM, 1 Sept : Mesyuarat Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak semalam sebulat suara bersetuju untuk mengesa Pengerusi MPN, Mustaffa Kamil Ayub bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti pada November nanti.

Menurut Anuar Zakaria, Setiausaha MPN Perak dalam satu kenyataan media, kepimpinan peringkat negeri serta semua 24 Ketua Cabang di negeri itu menyatakan Mustaffa merupakan tokoh yang paling layak memegang jawatan Timbalan Presiden KEADILAN memandangkan beliau mempunyai asas serta kualiti kepimpinan yang cemerlang semenjak berada dalam parti pada 1999.

"Saudara Mustaffa Kamil Ayub berpengalaman memimpin Parti Keadilan Rakyat sebelum ini sebagai, Pemangku Ketua Pemuda selama 2 tahun, Setiausaha Agung selama 3 tahun dan Naib Presiden selama 6 tahun.

"Beliau juga diberi kepercayaan yang tinggi oleh Presiden dan kepimpinan parti mengetuai negeri Terengganu dan Sarawak sebagai Pengerusi Keadilan Negeri dan berjaya menyelesaikan kemelut kedua-dua negeri ketika dilanda masalah.

"Saudara Mustaffa Kamil Ayub juga turut diberi kepercayaan oleh Presiden dan kepimpinan parti menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa dan Biro Latihan," tegas kenyataan itu.

MPN Perak berkata Mustaffa seterusnya dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN Negeri Perak pada November 2009 dan berjaya menyelesaikan konflikdan kemelut yang melanda negeri itu suatu ketika dahulu.

Melalui kepimpinan beliau, satu perubahan besar telah dilakukan melalui gagasan Memimpin Agenda Perak (MAP) yang diilhamkan oleh Mustaffa sehingga menjadikan KEADILAN Perak disegani oleh rakan dan digeruni pihak lawan.

"Majlis Pimpinan Negeri Perak yakin sekiranya Saudara Mustaffa Kamil Ayub bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, beliau mempunyai keupayaan yang tinggi memberi sumbangan yang bermakna kepada KEADILAN untuk menjadi sebuah parti yang unggul di negara ini.

"Majlis Pimpinan Negeri Perak juga memutuskan dan menyatakan sokongan kepada YB Dr Lee Boon Chye, Naib Presiden dan Ahli Parlimen Gopeng dan Dr Mohd Nur Manuty, Ahli Majlis Pimpinan Pusat yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan yang akan datang," ujar kenyataan itu lagi.

MPN Perak juga mengumumkan calon bagi jawatan anggota MPP yang mewakili negeri itu:

1. Madzi Hassan, Naib Pengerusi MPN Perak
2. Zulkify Ibrahim, Ketua Penerangan MPN Perak
3. Ismail Yusof, Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak
4. Usaili Alias, Ketua Cabang Parit
5. YB S Kesavan, Naib PengerusI MPN Perak & ADUN Hutan Melintang
6. YB Tai Sing Ng, Bendahari MPN Perak & ADUN Kuala Sepetang
7. Muzaffar Shah Khairuddin, Exco AMK Pusat & Negeri Perak
8. Siti Aisyah Shaik Ismail, Ketua Srikandi Pusat

Sehubungan itu, MPN Perak meminta supaya pimpinan Cabang dan ahli di peringkat akar umbi untuk mencalonkan kesemua nama yang tersenarai semasa proses pencalonan MPN kelak.

No comments: