Tuesday, August 31, 2010

Tiada kepentingan untuk letak jawatan


SHAH ALAM, 31 Ogos : “Saya tidak akan meletakkan jawatan dan tiada apa-apa kepentingan untuk melakukannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Insfranstruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali berhubung gesaan Pemuda UMNO Selangor.


Menurutnya, isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan Kerajan Negeri di Surau Al Huda, Kajang dan ucapan ringkas beliau mengiringi penyampaian bantuan telah diberi penjelasan oleh pentadbiran Surau Al Huda.

Katanya, berhubung dengan penjelasan itu, beliau mendapati Nie Ching dijemput sebagai tetamu untuk menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Parlimen Serdang.

“Beliau (Nie Ching) dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas yang tertumpu kepada usaha Kerajaan Negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

“Perkara ini dieksploitasi oleh pihak yang ingin ‘menangguk di air keruh’ dan menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Menurutnya, Pengerusi, Bendahari Surau dan Pembantu Khas Nie Ching telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil Istana.

Katanya, selepas pertemuan tersebut, keputusan telah dibuat iaitu membubarkan jawatankuasa surau dan Mais mengambil alih pentadbiran surau tersebut.

“Sebuah akhbar melaporkan dengan begitu berat sebelah mengenai kejadian ini apabila mendakwa Nie Ching menyampaikan ‘tazkirah’ dan beliau dilaporkan menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli PAS.

“Sehubungan itu, saya telah memanggil Jawatankuasa Surau Al Huda untuk menjelaskan kepada saya kejadian yang sebenarnya,” katanya.

Menurutnya, beliau menerima penjelasan daripada Nie Ching dan menghormati hasrat beliau untuk menyembah ampun maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, beliau akan memanggil Pengarah Jais, Datuk Mohammad Khusrin Munawi untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh beliau berhubung perkara ini.

“Saya akan cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat agar mereka dapat memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.

“Dengan cara ini diharapkan kejadian yang berlaku di Serdang tidak berulang dan saya akan mencadangkan supaya peraturan digubal lebih terperinci dengan langkah-langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid,” katanya.

Sabtu lalu, Pemuda UMNO Selangor yang diketuai Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa menyerahkan memorandum mendesak Hasan Ali dipecat daripada jawatan Exco yang dipegangnya.SH

No comments: