Tuesday, August 31, 2010

Umno tak rujuk keputusan Majlis Fatwa


SHAH ALAM , 31 Ogos : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 memutuskan bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat izin pengurusan masjid dan menjaga tingkah laku serta tidak mencemarkan kesucian masjid.


Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, keputusan muzakarah yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu wajar dijadikan garis panduan pihak berkuasa agama negeri dalam usaha mengelakkan kekeliruan.


Bagaimanapun, orang bukan Islam dilarang berdoa dan bertafakur mengikut cara agama mereka atau dengan cara yang boleh menimbulkan fitnah di masjid atau surau.

“Keputusan muzakarah amat jelas. Masalah perbezaan pendapat (berkenaan bukan Islam boleh atau tidak memasuki masjid) ini tidak berlaku di luar negara.

“Di Malaysia, fikiran dicemari sentimen politik kepartian. Ia menyebabkan kita lupa kepada prinsip asas agama Islam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Di samping menjadikan keputusan muzakarah sebagai panduan, Wan Mohamad menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau terus membuat rujukan kepada majlis agama negeri masing-masing.

Menurutnya, ini kerana majlis agama juga mempunyai garis panduan yang telah pun ditetapkan.

“Sebelum membenarkan sebarang majlis dijalankan di masjid, jawatankuasa perlu rujuk kepada majlis agama supaya tidak berlaku apa-apa masalah.

“Kita juga menggalakkan jawatankuasa menyediakan pakaian menutup aurat kepada pengunjung masjid dan surau seperti kain penutup kepala untuk wanita,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda, Kajang yang memberikan ucapan dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada surau tersebut mencetuskan kontroversi.

Dua hari selepas itu, Ahli Parlimen Selayang,dari Parti Keadilan Rakyat, William Leong Jee Keen pula dilaporkan memasuki ruang solat Masjid Al-Taqwa Selayang Baru untuk menyampaikan sumbangan kepada wakil tujuh masjid dan 27 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.SH

No comments: