Wednesday, March 16, 2011

10 tahun tunggu rumah PPRT tak dapat-dapat, kena tunggu YB mati dulu kot

KUBANG PANJANG, GONG KIAT – Seorang penduduk meluahkan rasa kecewanya apabila penantiannya lebih 10 tahun untuk mendapat rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), belum ditunaikan meskipun pelbagai janji ditabur pihak tertentu.

Penduduk terbabit, Siah Jusoh, 52, kesal dengan proses permohonan itu kerana rumah yang didiami kini semakin uzur dan tidak selamat terutama musim hujan kerana atap bocor dan beberapa masalah lain yang tidak dapat dielakkan.

“Air hujan masuk dalam rumah sebab atap bocor, ruang dapur dan bilik air pun tidak dapat bertahan lama memandangkan ia sudah terlalu uzur.

“Kalau dibiarkan lebih lama, mungkin ia akan roboh dan kami tiada tempat untuk berteduh lagi,” itu luahan hati Siah yang sedih melihat keadaan rumah yang didiaminya.

Dia yang mengalami tekanan jiwa setelah kematian suami, Wan Sulong Wan Mahmud pada 1993 akibat demam panas, kini tinggal bersama anak bongsunya, Wan Mohd Firdaus, 25 yang hanya melakukan kerja kampung.

“Saya sedih mengenangkan nasib kami kerana seolah-olah merempat di negeri sendiri tanpa dipedulikan.

“Mentang-mentanglah saya pernah menghidap sakit jiwa, dibiarkan tinggal di rumah yang menanti rebah bersama anak tanpa mendapat simpati atau bantuan kediaman yang lebih selesa,” katanya dengan nada sedih apabila Sinar Harian berkunjung meninjau keadaannya.

Siah yang mendapat rawatan sebulan sekali berhubung penyakit dihidapi, kini buntu memikirkan nasibnya kerana tidak tahu di mana silapnya menyebabkan dia belum mendapat bantuan PPRT, sedangkan sebelum ini dia pernah dimaklumkan akan mendapat bantuan kediaman itu.

“Kadang-kadang bila dikenangkan kembali, janji-janji yang pernah ditabur untuk menyedapkan hati, rasa sakitnya (dalam hati), Tuhan sahaja yang tahu bagaimana peritnya menanggung semua ini,” katanya dengan linangan air mata.

Menurutnya, rumah sekangkang kera yang didiami sekarang adalah ihsan daripada keluarga dan saudara-mara yang simpati dengan nasibnya kerana tinggal dalam keadaan yang terlalu daif.

“Makan, minum, tidur, semua dilakukan di dalam rumah kecil ini walaupun kurang selesa, tambah pula kalau musim hujan, tidur pun tidak lena memikirkan keselamatan diri dan anak.

“Kalau angin kencang, kami terpaksa menumpang di rumah jiran untuk bermalam,” katanya.

Namun dalam keperitan itu, Siah tetap bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan kerana dia bergelar ibu tunggal.

“Saya bukan minta lebih, cuma rumah PPRT untuk tempat tinggal yang lebih selesa,” katanya.

No comments: