Wednesday, March 16, 2011

Malaysia semakin tidak bebas

Indeks kebebasan akhbar 2010 bagi Malaysia yang mengejutkan

Oleh: ZULKIFI YAHAYA

Indeks kebebasan akhbar adalah kedudukan tahunan bagi setiap negara di dunia ini mengenai kebebasan akhbar yang wujud di negara itu. Ia dibuat dan diterbitkan oleh kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders, RWB) berasaskan penilaian organisasi terhadap rekod kebebasan media. Negara paling kecil sekalipun, seperti Andorra juga termasuk dalam penilaian tersebut.

Laporan dibuat berdasarkan soal selidik yang dihantar kepada pertubuhan yang menjadi rakan kerjasama RWB (14 kumpulan organisasi dari lima benua) serta 130 koresponden di serata dunia yang terdiri dari wartawan, penyelidik, pengamal undang-undang serta aktivs hak asasi manusia.

Soalan kajiselidik bertumpu pada aspek serangan langsung terhadap bidang kewartawanan dan media sepertimana tekanan sumber tidak langsung lain terhadap kebebasan media. RWB amat berhati-hati dalam mencatat indeks kerana penumpuan hanya terhadap aspek kebebasan akhbar dan bukan mengukur kualiti jurnalisme.

Apa yang paling mengejutkan dalam laporan tersebut bagi tahun 2010 ialah kedudukan Malaysia jatuh merudum ke tempat 141 dari 178 negara yang dibuat penilaian. Jika dihitung kedudukan Malaysia dari bawah, maka negara kita menduduki tempat 38; merupakan pencapaian ‘cemerlang’ bagi kalangan negara yang sangat tebal kongkongan medianya.

Angka paling kecil dijadikan indeks paling baik tahap kebebasan akhbarnya, manakala paling besar sebagai paling buruk. Maka bagi tahun 2010 Malaysia memperolehi 50.75, merupakan indeks tercorot dalam tempoh lapan tahun. Catatan indeks Malaysia adalah seperti berikut; 2009 (44.25), 2008 (39.50), 2007 (41.00), 2006 (22.25), 2005 (33.00), 2004 (39.83), 2003 (32.00) dan 2002 (37.83).

Di Malaysia, penilaian yang dibuat tentulah kepada semua akhbar, tidak terhad kepada akhbar berbahasa Malaysia sahaja yang hampir keseluruhannya dibawah kongkongan kerajaan BN. Akhbar berbahasa Cina, sekalipun masih terkongkong di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tetapi mereka masih mempertahankan sikap bebas, menyiarkan laporan seimbang terhadap semua pihak.

Jika indeks kebebasan akhbar dibuat terhadap akhbar berbahasa Melayu sahaja (yang berat sebelah) yang lebih besar pengaruhnya terhadap kaum majoriti negara ini, maka catatan indeks akan lebih buruk dan mungkin setanding dengan Burma, Korea Utara dan Eritrea.

Apa yang mengejutkan ialah kedudukan indeks kebebasan akhbar Malaysia jauh lebih buruk dari Mesir, Algeria dan Jordan yang sedang bergelut dengan kebangkitan rakyat kini. Antara rakan dalam kelompok Malaysia ialah Libya dan Tunisia, juga dua buah negeri yang karam dalam kebangkitan rakyat.

Maka timbul persoalan sekarang, apakah azam untuk menawan Putrajaya masih terdapat cahaya harapan di hujung terowong dalam keadaan semua media utama (khususnya media berbahasa Melayu) di negara ini tidak bebas, sentiasa berat sebelah dengan memihak kepada BN seratus peratus dan tidak pernah memberi ruang kepada pembangkang barang sepicing pun?

Penilaian terhadap parti politik di mana-mana pun dalam sistem demokrasi di dunia ini ditentukan oleh persepsi. Persepsi pula ditentukan oleh maklumat yang diterima. Oleh kerana rakyat Malaysia keseluruhannya dimomokkan oleh versi sebelah pihak sahaja, maka secara logiknya BN akan terus mendapat mandat sampai bila-bila selagi persoalan kebebasan media tidak dibetulkan.

Harus diingat bahawa itu baru persoalan kebebasan media. Belum lagi bicara soal jentera kerajaan yang diperkudakan, rasuah untuk pengundi dihalalkan dan manipulasi oleh SPR sebagai pengadil yang berat sebelah.

Sebahagian besar masalah dan ‘kelemahan’ dalaman Pakatan Rakyat adalah angkara manipulasi media. Mereka sangat berkuasa dalam membuli PR kerana kerana tiada media konvensional yang menjadi alternatif kepada PR. Masalah kecil berkaitan PR diperbesarkan, manakala jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan digelapkan. Kerajaan Pulau Pinang di bawah teraju DAP digambarkan sebagai anti Melayu/Islam tetapi penjelasan balas oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadap semua isu yang dibangkitkan tidak pernah disiarkan. 30 orang penyokong BN berdemonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Selangor disiarkan di semua media, walhal lebih 30 ribu pemuda PAS berhimpun di Kota Sarang Semut tidak disiarkan oleh media tersebut, walaupun dengan gambar sebelah kaki.

Maka cabaran terbesar PR untuk menghadapi PRU 13, bukannya isu tetapi bagaimana mempastikan isu dan maklumat sampai ke setiap pemikiran rakyat secara langsung dan pantas. Himpunan Bersih ke dua baru di peringkat ugutan. Setengah juga rakyat Malaysia pernah berhimpun di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil pada 2007. Apabila PR berjaya menawan lima buah negeri, Bersih pun menyepi sekian lama, walhal tiada satu pun tuntutan bersih yang ditunaikan oleh kerajaan yang memerintah.

Himpunan Bersih 2 yang dirancangkan adalah antara langkah membersihkan negara dari pelaksanaan demokrasi yang tidak bersih. BN pasti takut jika rakyat berjaya menggerakkan demonstasi besar seperti itu kerana mutakhir ini banyak kerajaan-kerajaan tua di dunia tumbang melalui demonstrasi jalanan.

Oleh kerana sukarnya untuk menumbangkan BN dalam suasana demokrasi tidak bersih, maka kerja membersihkan demokrasi adalah lebih aula dari menyertai pilihanraya dalam keadaan yang kotor.

No comments: