Sunday, January 6, 2013

KES RASUAH SCORPENE!!! Saksi pertama belum beri respon, bakal disapina...

KUALA LUMPUR 7 Jan: Saksi pertama kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene – Jasbir Singh Chahl belum memberi respon terhadap notis Mahkamah Perancis yang mengarahkan beliau hadir memberi keterangan.

“Jasbir sudah diberi notis yang mengarahkan beliau untuk beri keterangan, tapi sampai sekarang belum beri sebarang respon,” kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

“Kegagalannya berbuat demikian akan menyebabkan beliau disepina,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

Enam lagi saksi yang dicadangkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian (PI), P Balasubramaniam (Bala); bekas Penganalis Politik, Abdul Razak Baginda, Ibu bapa Abdul Razak – Abdul Malim Baginda dan Mazlinda Makhzan.


Jasbir juga adalah pembantu kanan kepada Razak Baginda.

Tian turut mengaitkan kebenaran kes rasuah Scorpene dengan pendedahan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

“Pendedahan Deepak mengesahkan memang berlaku penyelewengan oleh Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya.

“Ada sesuatu yang sangat ditakuti Najib dan Rosmah sehingga terpaksa ugut PI Bala untuk menutup mulut dan buat sumpah bertulis kedua (SD 2),” jelas Ahli Parlimen Batu itu.

Deepak pada November lalu mendedahkan beliau mengatur pertemuan antara adik Najib, Nazim Razak dan Bala, seterusnya memberitahu media, keluarga Najib terlibat secara langsung dalam menarik balik akuan bersumpah Bala.

Beliau mendakwa, Nazim membayar Bala sejumlah wang daripada RM5 juta yang dijanjikan untuk membuat akuan kedua yang menafikan akuan pertama berhubung skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.

“Apa yang kita kesal, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mengambil sebarang tindakan berhubung pendedahan tersebut,” kata Tian.

Suaram adalah pihak pelapor dalam kes rasuah pembelian Scorpene kepada Mahkamah Perancis kerana ia melibatkan syarikat negara itu.

Menurut Suaram, peguam mereka di Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham mengesahkan Jasbir adalah salah seorang saksi kes ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=42510

No comments: