Sunday, December 19, 2010

Gani Patail tak senang duduk pula

RPK Dedah Salinan Laporan Mata Lebam Yang Disorok AG


SHAH ALAM, 19 Dis. : Portal www.malaysia-today.net hari ini mendedahkan salinan laporan pemeriksaan ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah disorok dan tidak disertakan di dalam laporan Suruhanjaya Di Raja, 12 tahun lalu.

Di dalam laporan itu, Gani mempertikai dan mempersoalkan pendapat dan penemuan hasil pemeriksaan yang dibuat doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Abdul Rahman Yusof.

Pengendali laman tersebut yang juga blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK di dalam kolumnya berkata walaupun bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan ditendang keluar daripada jawatannya itu tetapi Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang turut terlibat dalam memalsukan laporan tersebut, masih lagi berada di dalam pejabatnya.

"Beliau terlepas dari semua salah laku yang dilakukannya yang mana ketika ini isu tersebut menarik perhatian umum.

"Lihat bukti di mana Peguam Negara mengarahkan doktor untuk mereka-reka laporan perubatan untuk mengatakan bahawa kecederaan Anwar pada tahun 1998 adalah disebabkan beliau terjatuh atau pun menumbuk dirinya sendiri.

Laporan itu ujar RPK kemudiannya disembunyikan dan tidak ditunjukkan kepada Suruhanjaya Di Raja.

"Adakah ini jenis Peguam Negara yang kita mahukan," soal beliau.

Sebelum ini, bekas pegawai polis kanan Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya yang kedua mendakwa laporan Suruhanjaya Di Raja yang dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong telah dimanipulasi.

Beliau turut menegaskan Gani turut terlibat dalam menyorokkan dan memalsukan dokumen perubatan tersebut.

Sehingga kini, beliau belum lagi dipanggil oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi memberikan penjelasan berhubung pendedahan yang dibuat itu.

Isnin lalu, Putrajaya telah memutuskan untuk menutup isu insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 1998 “sama sekali” dengan mengetepikan dakwaan terbaru kononnya wujud unsur pemalsuan bukti oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam jawapan itu, kerajaan mengambil pendirian mengetepikan dakwaan yang dibuat oleh bekas pegawai siasatan Mat Zain bahawa Abdul Gani telah memalsukan dokumen dalam kes itu — dakwaan yang dibuat menerusi dua surat terbuka.

Sebaliknya, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, tidak perlu bagi Mat Zain membuat aduan bahawa panel bebas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan pemalsuan bukti telah gagal untuk membersihkan nama beliau dalam insiden itu.

Ini menurut Nazri, Mat Zain tidak pernah tertakluk kepada siasatan panel dan hanya dipanggil sebagai seorang saksi untuk memberikan keterangan.

No comments: