Sunday, December 19, 2010

Umno celarukan pemikiran umat Islam


KEPALA BATAS, 19 Dis. : Umno dan Barisan Nasional adalah ejen yang menyebabkan kewujudan persepsi negatif oleh masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kecelaruan dalam pemahanan terhadap Islam yang berlaku adalah kerana contoh dan tafsiran yang ditunjukkan oleh Umno dan Barisan Nasional, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah dan berkuasa melalui penipuan,” katanya dalam ucapan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kedua di Dewan Millenium, Kepala Batas, hari ini.

“Mereka (Umno-BN) yang tidak menghormati demokrasi dan memberikan nama yang buruk kepada negara di persada antarabangsa.

“Sedangkan keadilan yang dianjurkan dalam Islam bersesuaian dengan fitrah manusia dan boleh dijadikan tiang seri bagi menyatukan hati, mengiktiraf kepelbagaian kaum dan menjalinkan sikap hormat-menghormati atas sikap kemanusiaan,” tambah Hadi.

Justeru, Hadi berpesan kepada pimpinan di negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat agar berusaha gigih agar segala buah fikiran tidak sekadar menjadi catatan di atas kertas semata-mata.

“Semua ketetapan di dalam konvensyen sudah menjawab tohmahan. Tetapi cabaran terbesar apabila hendak menterjemahkan perancangan ke dalam bentuk tindakan.

“Bukan sekadar difahami oleh kakitangan awam di negeri-negeri terbabtit, bahkan kepada rakyat jelata,” ujarnya.

Sementara itu, Hadi berpesan kepada pimpinan dan aktivis parti untuk komited mempertahankan negeri-negeri Pakatan yang ditadbir, kerana saat dan detiknya semakin hampir untuk pilihanraya umum yang ke-13 .

No comments: