Sunday, December 19, 2010

Rakyat diharap beri mandat lebih besar kepada PR



















BATU KAWAN, 19 Dis. : Mandat lebih besar daripada rakyat diperlukan Pakatan Rakyat (PR) bagi membolehkan perubahan menyeluruh dilakukan ke atas negara ini menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyatakan sokongan penuh diperlukan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berbanding Mac 2008 bagi Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal menjelang.

"Parlimen dan Negeri mesti kena kuat kalau mahukan perubahan," kata Anwar ketika berucap pada Majlis makan malam Keadilan di Juru Malam tadi.

Beliau mengulas mengenai kepentingan mendapat sokongan penuh segenap lapisan masyarakat yang persis PRU 12 lalu yang membolehkan PR menafikan majoriti 2/3 Parlimen Barisan Nasional sejak sekian lama dan menggondol lebih 3.8 juta undi popular.

Dalam ucapannya Anwar juga menyentuh isu memikat pengundi dan mahu PR mempertingkatkan usaha untuk menerokai kawasan-kawasan orang Melayu untuk mendapatkan sokongan besar dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Katanya, parti-parti komponen perlu menyampaikan mesej dan menjelaskan isu kepada orang-orang Melayu.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mendakwa rakyat sudah tidak boleh mengharapkan perubahan di bawah pemerintahan Umno-BN kerana mereka hanya boleh mengubah gaya dan penampilan mereka semata-mata, bukannya membawa dasar-dasar yang lebih baik.

“Umno tidak akan berubah yang berubah cuma gaya mereka, bukan polisi, makin sombong, kita cakap dia buang kita.Oleh kerana tidak mahu kita bercakap, dia buang saya, ” kata Anwar mengulas mengenai hukuman gantung 6 bulannya dari Parlimen minggu ini.

Selain Anwar, turut mengalami nasib yang sama ialah Azmin Ali, Karpal Singh dan R Sivarasa kerana membangkitkan isu APCO di Parlimen.

"Apa gunanya saya jadi Ketua Pembangkang kalau tidak mahu bercakap di Parlimen,” kata Anwar.

No comments: