Sunday, December 19, 2010

Pakatan Rakyat kemuka program reformasi 100 hari












KEPALA BATAS, 19 Dis. : Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara khususnya keselamatan dan ekonomi berdasarkan kepada prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat berikrar untuk melaksanakan pelan 10 program reformasi awal, dalam 100 hari mendapat mandat rakyat.

Di sektor keselamatan, Pakatan Rakyat fokus untuk mereformasikan institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihanraya bagi membuka laluan kepada sistem pilihanraya yang adil, telus dan berwibawa.

Agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia ditransformasikan kepada pasukan yang profesional dan berdaya-maju, dengan wujudnya Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis, penambahbaikan kebajikan anggota bawahan, dan kelengkapan pembanterasan jenayah yang canggih.

Turut disasarkan adalah SPRM dan Pejabat Peguam Negara, bagi mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuh bagi memulihkan demokrasi di negara ini.

Manakala satu suruhanjaya diraja akan ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan.

Di sektor ekonomi pula, Kerajaan Pakatan Rakyat bercadang menghapuskan tol dengan mengarah Khazanah Berhad, Kumpulan Wang simpanan Pekerja dan badan-badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan pengambil-alihan aset lebuhraya.

Sementara itu, semua konsesi pengurusan air swasta akan diminta supaya mengembalikan air yang menjadi hak rakyat kepada kerajaan.

Isu subsidi juga diberi perhatian. Pakatan Rakyat berhasrat untuk mengalihkan subsidi yang diberi kepada pihak swasta, seperti subsidi gas bernilai RM19 bilion ringgit kepada penjana tenaga bebas, kepada subsidi menampung keperluan rakyat.

Mengotakan janji kepada rakyat di negeri-negeri pengeluar minyak, Pakatan Rakyat mahu menaikkan royalti kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus.

Manakala Felda Plantations akan dibatalkan bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskan kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Mengiktiraf pentingnya pendidikan kepada pembangunan negara, struktur gaji dan imbuhan bulanan para pendidik akan dikaji semula.

Bagi mengalakkan capaian maklumat, kawasan bandar dan separa bandar akan dilengkapi dengan perkhidmatan internet wi-fi percuma kepada semua rakyat.

No comments: