Saturday, December 18, 2010

PAS letak calon PRK Dun Tenang, Umno tak akan menang mudah






















KUALA LUMPUR, 18 Dis. :
PAS akan meletakkan calonnya di DUN Tenang sambil yakin bakal mencatatkan kejutan pada pilihan raya kecil kali ini berdasarkan prestasi parti itu sejak lebih sedekad lalu.

Mengambil kira pengalamannya bertanding dalam tiga pilihan raya umum yang lalu - 1999, 2004 dan 2008, Naib Presden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya akan bertanding di kerusi tersebut.

PAS bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang sejak 1999 manakala pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, Semangat 46 menurunkan calonnya di mana PAS menjalin kerjasama dengannya.

“PAS pernah bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini, jadi ini kerusi bagi PAS meletakkan calon. Maka, PAS akan meletakkan calon di sini untuk bertanding,” kata Tuan Ibrahim

Pengarah Operasi Jentera PAS DUN Tenang Zulkifli Ahmad juga mengesahkan pihaknya akan meletakkan calon mereka walaupun ada kedengaran DAP kemungkinan bertanding.

Perkembangan 13 pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menunjukkan Pakatan Rakyat mengekalkan kesepakatan pembahagian kerusi Mac 2008.

“Secara tradisi ini kerusi diperuntukkan dan ditandingi PAS. Berdasarkan konvensyen pembahagian kawasan, kerusi yang ditandingi oleh mana-mana parti dalam pilihan raya umum lalu akan ditandingi oleh parti berkenaan.

“Atas sepakat ini, PAS akan bertanding di kerusi DUN Tenang,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor ketika dihubungi petang ini.

Katanya, PAS Johor mengadakan mesyuarat terbaru malam tadi.

“Kami sudah mengadakan mesyuarat tiga hari lalu dan yang terbaru malam tadi bagi membincangkan persediaan,” kata Zulkifli lagi.

Pilihan raya kecil ini akan diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha awal pagi semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka akan mengadakan mesyuarat hujung minggu depan. Ia pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 dan yang pertama di Johor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya yakin untuk merampas kerusi itu memandangkan rakyat Johor mahu melihat perubahan dengan kesan tsunami 2008 masih dapat dilihat dan dirasai di negeri itu.

“Selain itu, kita melihat generasi muda mahukan perubahan di peringkat Johor, dan oleh itu, saya yakin mereka akan meneruskan sokongan untuk membawa perubahan,” katanya sambil menambah, wakil rakyat Pakatan Rakyat juga telah menunjukkan prestasi baik di Dewan Undangan Negeri sepanjang dua tahun lalu. - TMI

No comments: