Saturday, December 18, 2010

Penduduk Kampung Baru tidak puas hati















KUALA LUMPUR, 18 Dis. : Persatuan Pembangunan Kampung Baru hari ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 di Parlimen Selasa lepas.

Persatuan itu mendakwa pembentangan itu dibuat tanpa memberi penerangan secara terperinci mengenainya kepada mereka terlebih dahulu.

Pengerusi persatuan, Dr Mohd Yusof Ismail berkata banyak perkara yang memerlukan pindaan terhadap deraf asal dibincangkan dalam lab rang undang-undang itu di Melaka pada Ogos lepas dan sepatutnya segala pindaan dibincangkan serta mendapat persetujuan penduduk terlebih dahulu sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

"Antara aspek yang dibincang pada lab tersebut ialah bidang kuasa perbadanan,kerana menurut deraf asal, perbadanan itu akan mempunyai kuasa yang luas termasuklah dari segi pengambilan tanah penduduk manakala Majlis Penasihat yang dikatakan akan dianggotai oleh Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) tidak akan mempunyai pengaruh terhadap keputusan perbadanan.

"Selain itu, anggota perbadanan juga dijamin perlindungan mereka daripada tindakan undang-undang di mana peruntukan seumpama ini akan membawa kepada kesan yang tidak baik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dr Mohd Yusof berkata walaupun perjumpaan telah dibuat oleh pihak kementerian dengan 200 penduduk dari Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periok pada Selasa lepas, namun penjelasan yang diberi terlalu umum.

"... dan juga boleh dipersoalkan sama ada 200 orang yang menghadiri pertemuan itu tahu tentang perkara penting terkandung dalam rang undang-undang itu,"katanya yang mendesak agar kementerian berkenaan memberi penjelasan secara terperinci kepada seluruh penduduk Kampung Baru sebelum rang undang-undang itu dikemukakan untuk bacaan kali kedua di Parlimen.

Dr Mohd Yusof, yang juga bekas Pengarah (Industri) Unit Perancang Ekonomi(EPU),turut mengulas mengenai harga tanah terlalu rendah yang dinilai oleh syarikat perunding pelaburan hartanah antarabangsa, Rahim & Co yang dilantik oleh kementerian.

"Rahim & Co pernah mengatakan bahawa nilai tanah Kampung Baru boleh berganda,tetapi kalau nak diikutkan pada harga tanah yang ditetapkan mereka (Rahim & Co),tanah di Kampung Baru sekarang bernilai RM350 sekaki persegi (skp) untuk tanah perumahan.

"Tetapi persoalannya jika tanah yang dijual oleh keluarga Tan Sri Aishah Ghani 15 tahun lepas boleh mencecah RM500 skp, jadi bagaimana harga tanah di Kampung Baru sekarang boleh ditetapkan pada paras yang sedemikian.

"Sepatutnya, harga minimum ditetapkan pada RM700 skp dan boleh mencapai sehingga RM2,000 skp," tegas beliau.

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Hasri Yazid, 42, berpendapat kementerian perlu mengutamakan persetujuan penuh penduduk Kampung Baru terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Dari segi pembangunan, jangan nafikan hak kami untuk mendapatkan penjelasan yang penuh," katanya.

Seorang lagi penduduk, Fuad Fahmy, 37, pula berkata generasi muda Kampung Baru seperti beliau tidak akan menolak pembangunan, malahan mereka ingin lihat Kampung Baru membangun.

"Tapi, kita hanya minta kerajaan supaya telus membuat cadangan dan penjelasan, kerana terlalu banyak keraguan mengenai rang undang-undang itu sekarang," katanya.

-BERNAMA-

No comments: