Saturday, December 18, 2010

Live Konvensyen PR ke 2 : Perasuah tidak layak digelar warganegara Malaysia














KEPALA BATAS. 19 Dis. : Mereka yang rasuah, menyokong perilaku rasuah, menyemai perpecahan kaum dan ketegangan agama, serta petualang rompakan harta rakyat tidak boleh diakui sebagai warganegara kerana kegiatan mereka menjejaskan negara dan rakyat seluruhnya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata rakyat Malaysia tulen hanyalah mereka yang mendakapi lima semangat Rukunegara iaitu, ketakwaan kepada tuhan, kesetiaan pada raja dan negara, memartabatkan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan memelihara kesopanan dan kesusilaan rakyat.

"Rakyat Malaysia tidak akan terbabit dengan kegiatan yang menjejaskan negara. Rakyat Malaysia sebenarnya adalah majoriti negara ini, yang mahukan keadilan dan layanan sama-rata kepada semua. Rakyat Malaysia yang tulen adalah mereka yang mahukan keharmonian sesama kita, yang mahu undang-undang didaulatkan dan ketakwaan kepada tuhan," kata Guan Eng.

Beliau melahirkan dukacita diatas sika kepimpinan Umno-BN yang melanggar prinsip dan semangat Rukunegara. Guan Eng berkata sudah tiba masanya rakyat mempertikaikan kesetiaan pemimpin gagasan pemerintah berdasarkan kepada tindak-tanduk mereka.

"Barisan Nasional menggunakan strategi bangsa, agama dan Raja-Raja Melayu untuk memecahkan-belahkan rakyat. Sikap seperti ini bukan sikap rakyat Malaysia tulen. Golongan yang rasuah, tamak-haloba, yang menyebar fitnah dan menjual kepentingan awam bukan rakyat negara ini," tegas Guan Eng.

Beliau menambah tiada tempat untuk golongan itu dalam wawasan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Malaysia Baru bukan untuk mereka," kata Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang melahirkan dukacita dengan laporan media yang bersekongkol dengan pemerintah tidak memberi liputan dan pendedahan yang adil kepada Pakatan Rakyat.

Guan Eng menambah rakyat terkeliru dan mengganggap DAP anti-Melayu akibat dari kempen bersepadu Umno-Barisan Nasional yang mahu Malaysia kekal di takat lama.

"Perlembagaan DAP mengiktiraf dan mengakui bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Rasmi, Islam adalah Agama Negara, Pertahankan keistimewaan bangsa Melayu-Bumiputera, dan tidak meminggirkan kepentingan kaum-kaum lain," tegas beliau.

Guan Eng menambah kepatuhan kepada semangat Perlembagaan dizahirkan dalam urustadbir negeri Pulau Pinang.

"Barisan Nasional gunakan strategi kaum, agama dan Raja untuk melaga-lagakan Pas dan DAP. Mereka dakwa orang Melayu di Pulau Pinang dipinggirkan dari arus ekonomi negeri. Walhal rakyat Pulau Pinang tidak pun bising akan hal ini, kerana mereka maklum bahawa kontraktor Melayu mendapat hampir 100 peratus atau 100 peratus dari kontrak-kontrak kerajaan negeri sejak penmilihan meritokrasi diperkenalkan," kata Guan Eng.

"Mereka dipilih bukan kerana mereka itu berbangsa Melayu. Sebaliknya mereka dipilih kerana merekalah kontraktor yang terbaik untuk tugas yang diamanahkan. Mereka di pilih berdasarkan kebolehan dan keupayaan. Yang sebenarnya buat bising di Pulau Pinang adalah kontraktor Umno, yang tidak menepati ciri-ciri kontraktor berkebolehan," jelas beliau.

Dalam pesanannya kepada rakan komponen Pas, PKR dan SNAP, Guan Eng berkata Pakatan Rakyat perlu lebih menumpukan kepada menyelamatkan ekonomi negara.

"Dahulunya kita adalah ekonomi yang ke-3 terbesar di rantau ini, sekarang kita ditinggalkan Singapura. Keluaran Dalam Negara Kasar republik itu jauh lebih besar, meskipun rakyat mereka lima kali ganda lebih kecil dan tanah Singapura kontang tanpa sumber alam," kata Guan Eng.

"Kalau kita bernasih baik, menjelang 2020, Malaysia tidak akan jatuh muflis," keluh beliau.

Guan Eng berkata Barisan Nasional menguar-uarkan pelbagai akronim ekonomi dan projek gergasi untuk mengaburi realiti ekonomi yang semakin mundur.

Namun hakikatnya, rakyat terus tertekan dan diasak situasi ekonomi semasa.

"Apa yang mahu dihairankan dengan menara 100 tingkat. Firaun suatu masa dahulu juga membina piramid tinggi-tinggi," katanya disambut tawa dari 2,000 hadirin yang hadir hari ini.

"Saya yakin rakyat yang berpegang kepada amar makruf, nahi mungkar, sama-sekali tidak akan membenarkan firaun hidup kembali," katanya.

Guan Eng mengingatkan Pakatan Rakyat untuk menggemblengkan kekuatan bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13, yang beliau sifatkan bakal menentukan nasib dan halatuju negara.

"Kita harus pertahankan Ketuanan Rakyat, supaya ia terus hidup di Malaysia. Sekarang masa untuk kita bekerja. Kalau tidak, kita cakap kosong sahaja," tegas Guan Eng.

"Saya juga ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud, diatas perkahwinan beliau. Moga dengan perkahwinan itu, beliau bersedia untuk bertarung dalam PRU-13 nanti," kata Guan Eng.


INFO: Sekarang LIVE: Siaran Langsung Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2, Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang @

No comments: