Saturday, December 18, 2010

Sokong Kerajaan Selangor

Charles Santiago: Pemegang Bon Diseru Sokong Kerajaan Selangor
















KLANG, 18 Dis.: Pemegang bon air di Selangor diseru agar memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam isu pengambilalihan pengurusan air, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Bercakap kepada Tv Selangor Charles juga membidas kerajaan persekutuan yang beria-ia mempertahankan Syarikat Bekalan Air Selangor atau SYABAS sedangkan pengguna air di negeri ini terabai.

Semalam Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mendakwa pucuk pimpinan negeri gagal menyelesaikan masalah berkenaan yang akan memberikan kesan negatif terhadap industri air, malah kebajikan rakyat akan terjejas sekaligus mengancam pasaran kewangan negara.

Reaksi ini diberi menteri berkenaan selepas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan siri jelajah secara besar-besaran membantah langkah Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bon berkaitan air di negeri itu.

"Untuk isu bon ini, saya fikir yang bagus sekali pemegang-pemegang bon itu pergi kepada kerajaan negeri Selangor dan mengatakan supaya sokong kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih balik pengurusan air di Selangor,"katanya.

Tambah Charles lagi berkenaan saranan kerajaan kerajaan pusat agar kerajaan negeri tidak meneruskan hasrat untuk menyaman Syabas, disifatkan tidak masuk akal kerana jelas pihak Syabas telah melanggar terma-terma perjanjian konsesi air.

Peter Chin juga semalam menyeru kerajaan negeri Selangor dan syarikat-syarikat air mengambil tindakan bertolak ansur berbanding tindakan mahkamah.

"Sebab jelas kita tahu kerajaan pun tahu dan rakyat pun tahu bahawa Syabas telah banyak membuat kesalahan dari segi undang-undang negara dan banyak melanggar perjanjian konsesi dan jelas terdapat dalam laporan Audit yang telah dikeluarkan, tetapi kerajaan tidak ambil tindakan terhadap Syabas tetapi menasihat kerajaan negeri Selangor jangan bawa Syabas ke Mahkamah, ini langsung tidak masuk akal.

"Ini jelas pada saya Syabas lebih disokong oleh kerajaan persekutuan oleh kerana kepentingan masing-masing sebab mereka ini di bawah naungan Umno-Barisan Nasional, apa yang menjadi masalah ialah wang rakyat digunakan," katanya.

No comments: