Monday, December 13, 2010

Sultan sedia bertemu PAS

PAS beri laporan pada Istana

http://3.bp.blogspot.com/_bFVmXyF2s4w/SrgsRpbO-6I/AAAAAAAAAVY/gmFbYp7SPZI/s400/hasan-ali.jpg

SHAH ALAM, 14 Dis. : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sedia bertemu dengan pimpinan PAS negeri untuk mendapat maklum balas isu-isu penting menyentuh hal-ehwal Islam dan Melayu, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Beliau berkata, keterbukaan pihak Istana yang memberi laluan kepada pimpinan PAS mengadakan perbincangan mengenai perkara terbabit dinyatakan baginda selepas rombongan Badan Perhubungan PAS negeri menghadap baginda di Istana Kayangan, semalam.

“Baginda juga mengambil kesempatan dalam pertemuan itu menasihatkan pimpinan PAS Selangor, ahli-ahli dan penyokong supaya memahami sejarah dan Perlembagaan Negara dan negeri.

“Baginda dukacita di akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan hal-hal mengenai Islam, keistimewaan umat Melayu dan pelbagai peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan. Begitu juga undang-undang tubuh negeri yang perlu dihayati kerana di dalamnya mengandungi tatacara dan prosedur mengenai beberapa perkara yang telah dimuktamadkan dan perlu dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Hasan berkata, pada pertemuan semalam, turut dibincang adalah hal-hal berkaitan pentadbiran dan pembangunan Selangor khususnya mengenai kemajuan Islam dan kaum Melayu di negeri ini.

“PAS juga telah menerangkan kepada baginda mengenai kemajuan Islam di ini sejak ditadbir oleh Pakatan Rakyat di mana masjid dan surau semakin makmur dimeriahkan dengan ceramah dan kuliah dan lain-lain aktiviti melibatkan anak kariah.

“Baginda juga dimaklumkan tentang program Sahur Perdana yang disertai hampir 10,000 orang di Kompleks Belia Seksyen 7, Shah Alam yang diadakan di penghujung Ramadan lalu,” katanya.SH

No comments: