Monday, January 3, 2011

Gobala sebenarnya mahu dipecat

Terus serang hingga dipecat

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2010/03/04/Gobalakrishnan%20Nagapan%20parlimen.jpgALOR SETAR, 3 Jan. : Tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang lantang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR Pusat kebelakangan ini dilihat seperti mahu mengikut jejak Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Isa berkata, apa yang dilakukan Gobalakrishnan sama seperti senario yang berlaku sebelum Zulkifli dipecat apabila bekas Ketua Cabang Kulim Bandar Baharu itu bertindak mencabar parti supaya mengambil tindakan terhadapnya.

Menurutnya, selepas dipecat, Zulkifli menuduh PKR parti yang tidak demokratik, sedangkan tindak-tanduk beliau sendiri secara terang-terangan bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Saya lihat modus operandi digunakan Gobalakrishnan sama dengan Zulkifli apabila beliau cuba menyerang parti melalui media bagi membolehkannya dipecat sekali gus mendapat ruang untuk menuduh PKR menyekat kebebasan bersuara.

“Sekiranya beliau terus bertindak keluar parti, ianya tidak menguntungkannya kerana tiada alasan kukuh yang boleh digunakan untuk memfitnah PKR. Bagaimanapun, sekiranya beliau dipecat, lain ceritanya dan beliau dianggap teraniaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Gobalakrishnan yang menuduh Anwar mengamalkan pilih kasih menyebabkannya dicabar oleh Ketua Umum PKR itu supaya keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Wan Salleh yakin Gobalakrishnan akan terus menyerang pucuk kepimpinan parti melalui media selagi beliau tidak dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana ianya dipercayai motif beliau bertindak demikian.

“Saya tidak nampak sebarang keuntungan kepada Gobalakrishnan sekiranya beliau keluar parti begitu sahaja dan yakin beliau akan menyerang parti secara berterusan selagi tidak dipecat.

“Bagi saya, terpulang kepada Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan terhadapnya. Cuma saya minta pertimbangan sewajarnya perlu dibuat bagi mengelakkan impak negatif terhadap parti,” katanya.

Wan Salleh tidak menolak kemungkinan tindakan Gobalakrishnan mengkritik Anwar dan parti secara terbuka kerana tidak berpuas hati kerana tidak dilantik sebagai Naib Presiden parti melalui lantikan Presiden setelah tewas dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti bulan lalu.

“Saya harap Gobalakrishnan lupakan soal pemilihan parti dan cuba buktikan kemampuan beliau untuk memimpin parti terlebih dahulu kerana masih banyak peluang untuk beliau bertanding jawatan tertinggi parti pada masa akan datang.

“Saya juga berharap beliau tidak diperalatkan musuh politik untuk menyerang PKR kerana tindakan itu tidak akan memberi manfaat kepada parti dan beliau sendiri,” katanya.

Pergeseran antara Ahli Parlimen Padang Serai itu dengan pemimpin tertinggi PKR semakin memuncak dan beliau kini tidak lagi berselindung dalam menamakan Anwar sebagai punca sebenar ketidakadilan berlaku dalam parti itu.

Menurutnya, Anwar telah memperkuatkan kepimpinan Melayu dan Cina dalam PKR tetapi masyarakat India diabaikan sejak 12 tahun lalu.

“Hanya orang yang dekat dengan (Anwar) dilantik ke jawatan parti. Seharusnya pertimbangan diberikan kepada masyarakat India dalam parti kerana mereka membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah ahli.

“Ini amalan pecah dan perintah oleh Datuk Seri Anwar yang jelas,” kata Gobala.SH

No comments: