Monday, January 3, 2011

Umno dahulukan rakyat : Harga minyak masak akan naik

Tegas kawal harga minyak masak, elak disorok

KUALA LUMPUR, 3 Jan. : Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga minyak masak tahun ini bagi mengelakkan berlakunya perbuatan menyorok barang kawalan itu.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, selagi kerajaan tidak mengeluarkan satu kenyataan yang tegas, spekulasi kenaikan harga akan terus berlaku dan peniaga akan terus menyoroknya manakala pengguna pula membuat pembelian panik.

"Sehingga hari ini kabinet belum buat keputusan lagi sama ada nak naikkan harga (minyak masak) ataupun tidak.

"Jadi kalau ada khabar angin kenaikan harga ini, memang munasabahlah. Ini akan menimbulkan suasana kenaikan harga barang.

"Saya harap kerajaan bertegas mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menaikkan harga minyak masak dalam tempoh setahun ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehabisan bekalan minyak masak di Lembah Klang dan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak seminggu lalu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Krai turut berkata, pengumuman kerajaan akan melegakan semua pihak dan peniaga tidak boleh mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang.

"Pengumuman kerajaan paling tidak akan melegakan rakyat dan menolak sebarang khabar angin dan juga hasrat mana-mana pihak untuk menaikkan harga barang," katanya.

Menurutnya juga, bekalan minyak masak dalam negara tidak akan habis kerana Malaysia merupakan negara pengeluar utama minyak.

"Bekalan tak habis, tapi ada pihak yang mengambil kesempatan berpunca daripada khabar angin dan ketidaktegasan kerajaan menangani situasi ini," katanya.

Minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50).

Terdapat peniaga yang menyorok bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga akan naik sebanyak 40 sen sekilogram.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberikan jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Timbalan menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, jaminan itu dibuat kerana bekalan minyak masak mencukupi dan tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.

Beliau berkata, kekurangan minyak masak disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.

No comments: