Monday, January 3, 2011

PAS bantu pelajar susah

Pemuda PAS Melaka anjur Anak Harapan

MELAKA, 4 Jan: Apabila musim persekolahan tiba, ibu bapa merupakan golongan paling sibuk apatah lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melalui Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan mendepani isu itu dengan menganjurkan program “Anak Harapan”.

Menurut Exco lujnah berkenaan, Ustaz Adnan Sulaiman, program berlangsung pada 30 Disember 2010 hingga 2 Januari lalu di beberapa tempat seluruh negeri.

Katanya, program itu bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah yang tidak berkemampuan, terutamanya kepada anak yatim.

(Gambar: Adnan Sulaiman menyampaikan bantuan kepada Noradila Zailan.)

“Program ini melibatkan 15 orang pelajar dari sekolah rendah di beberapa tempat di Melaka seperti di Tangga Batu, Durian Tunggal, Bukit Baru, Telok Mas dan Serkam,” katanya.

Ibu kepada seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serkam menerima sumbangan sebanyak RM150 bagi membiaya yuran persekolahan.

Ibu berkenaan yang kematian suami sejak lima tahun yang lalu kini terpaksa menyara anaknya yang masing-masing masih lagi bersekolah.

Keadaan suami yang mengidap penyakit mental memaksa ibu kepada Mohd Hidayat di Bukit Baru untuk bekerja keras sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Ayer Keroh.

Ibu kepada empat orang anak itu mengakui tidak mampu menanggung kos perbelanjaan isi rumah dengan gaji hanya RM500 sebulan sahaja.

Beliau mengucapkan syukur dan berterima kasih atas keperihatinan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dalam mendepani isu-isu kebajikan.

Seorang ibu tunggal di Telok Mas terpaksa menyara tiga orang anaknya selepas kematian suaminya pada Mac 2010.

Noriahty Bahari berkata, dengan gaji sebanyak RM430 sebulan, beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengakui agak sukar menyara tiga orang anaknya yang bersekolah, apatah lagi kos hidup kini semakin meningkat.

Sementara itu, di Tangga Batu, Dewan Pemuda PAS negeri juga berkesempatan melawat pelajar cemerlang Noradila Zailan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Sungai Udang yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.

Beliau yang tinggal bersama keluarga di Pantai Kundur berkata, hidup dalam serba kekurangan membuatkannya tetap gigih dan tidak menjadikan miskin sebagai penghalang untuk berjaya.

No comments: