Monday, January 3, 2011

Pemuda PAS Parit Buntar sanggup sedia medan debat

http://pemudapasperak.com/v1/plugins/content/contentoptimizer/9f7ffb3ad2b28aa6b43bc982662cb8f5128070f8_162x121_Q65.jpeg

PARIT BUNTAR, 3 Jan. : Kegagalan Debat Pemuda PAS dan Pemuda UMNO Larut tentang isu Melayu dan Islam sudah dijangka dari awal apabila program ilmu yang sepatutnya mewujudkan kemurnian dan keharmonian di kalangan dua buah parti politik Melayu itu disekat oleh pihak polis. Namun apa yang jelas, pihak Pemuda UMNO menggunakan alasan lemah tersebut untuk mengelak bertembung dengan hujah-hujah debat daripada Pemuda PAS.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, kegagalan majlis tersebut sudah dapat diagak apabila Ketua Pemuda UMNO Larut, Mohd Anuar Ariffin mula bermain isu permit yang belum dikeluarkan oleh pihak polis.

" Pembatalan majlis dengan tiada permit dikatakan atas faktor keselamatan tidak boleh diterima akal kerana ia bukanlah sebuah program yang menyebabkan suasana huru hara akan tetapi membincangkan isu Melayu dan Islam.

"Kita hendak melihat bagaimana UMNO ataupun PAS mempertahankan serta memberi hujah isu yang menjadi kepentingan ummah ini"katanya

Hairul Nizam berkata, sekiranya difikirkan atas faktor keselamatan, pihak polis boleh meletakkan anggotanya bagi mengelakkan sebarang keadaan tidak diingini.

" Sebelum ini program debat di Parit Buntar pernah dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Parit Buntar tentang isu yang sama dan menampilkan tokoh-tokoh dari PAS dan UMNO. PAS diwakili Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa manakala UMNO diwakili Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Tajuddin Abdul Rahman.

" Suasana debat begitu aman, tanpa polis manakala dua-dua penyokong politik iaitu UMNO dan PAS berada dalam dan luar dewan, tiada langsung kekecohan timbul. Di dalam majlis tersebut kedua-dua tokoh ini berhujah dengan baik dan tiada sebarang provokasi"katanya

Katanya, apa yang pasti Pemuda PAS Larut telah memberi keyakinan kepada polis bahawa majlis ini akan dilaksanakan secara aman.

"Saya fikir sekiranya Pemuda UMNO turut memberikan keyakinan yang sama, pasti program berjalan dengan baik.

"Masalahnya sekarang Pemuda UMNO tidak mampu untuk berhadapan dengan Pemuda PAS. Mereka takut akan pecahnya tembelang kerosakan yang mereka lakukan pada orang Melayu dan Islam"katanya

Beliau mempersoal alasan polis di Larut tidak mampu mengawal rakyat yang kini semakin bijak dan profesional.

" Ini bukannya program konsert haram ataupun demonstrasi akan tetapi majlis ilmu untuk kebaikan masyarakat Melayu Islam di negara ini"katanya

Hairul Nizam berkata, Parit Buntar bersedia menyediakan medan debat secara profesional isu Melayu Islam ini sekiranya di Larut menghadapi ancaman ataupun masalah.

" Pengalaman debat aman di Parit Buntar membuka ruang debat yang lebih efisien, efektif dan profesional" katanya

No comments: